Bajet dorong harga saham naik

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membentangkan Bajet 2012 yang bersaiz RM 232.8 billion di Parlimen
KUALA LUMPUR 9 Okt. — Harga saham di Bursa Malaysia dijangka terus meningkat selepas pembentangan bajet mesra rakyat oleh kerajaan Jumaat lalu. Para peniaga berkata jangkaan pilihan raya mengejut dan peningkatan aktiviti penggabungan dan pengambil alihan juga menyokong sentimen itu.
Langkah meliberalisasi seterusnya 17 sub-sektor perkhidmatan mengikut fasa pada tahun depan seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan dalam Bajet 2012 akan menambah kepada rentak positif pasaran, kata salah seorang daripada mereka.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Runcit Affin Investment Bank, Dr. Nazri Khan berkata, pasaran dan sektor kewangan kemungkinan menarik minat para pelabur jika diambil kira perubahan berbalik indeks global.“Kami percaya faktor menolak mempunyai kelebihan pada jangka masa terdekat dengan sasaran 1,430 mata sebagai sasaran segera,” katanya.
Bagi minggu baru berakhir, Bursa Malaysia mencatatkan kenaikan tiga hari berturut-turut berikutan kenaikan jitu hasil daripada aktiviti mencari saham murah selepas jualan besar-besaran baru-baru ini dan melepasi halangan psikologi pada paras 1,400 mata hari pembentangan bajet.
Berasaskan minggu ke minggu, FBM KLCI melonjak 12.19 mata kepada 1,400.05 berbanding 1,387.13 mata pada Jumaat sebelum ini. Indeks FBM Emas meningkat 43.18 mata kepada 9,474.26, Indeks FBM top 100 menokok 48.03 kepada 9,329.53 dan Indeks FBM Mid 70 meningkat 113.12 mata kepada 10,054.40. Bagaimana pun, Indeks FBM ACE turun 58.53 mata kepada 3,647.86. Di kalangan siri Indeks Bursa Malaysia, Kewangan menokok 46.26 mata kepada 12,770.83, Perladangan meningkat 75.68 mata kepada 7,087.01 dan Perusahaan meningkat 12.34 mata 2,530.92.
Jumlah mingguan keseluruhan merosot kepada 4.08 bilion saham bernilai RM6.17 bilion daripada 4.82 bilion saham bernilai RM8.11 bilion. Perolehan Pasaran Utama turun kepada 3.16 bilion bernilai RM6.06 bilion daripada 3.77 bilion saham bernilai RM8.0 bilion. Waran turun kepada 301.66 juta unit bernilai RM24.82 juta daripada 340.005 juta unit bernilai RM19.531 juta. Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 604.48 juta unit bernilai 75.55 juta daripada 687.764 juta unit bernilai RM80.966 juta. – BERNAMA